Assalammualaikum. Salam hari Jumaat. Nak ciqetq kat angpa sikit. Bagaimana agaknya perasaan seorang lelaki seandainya dia tahu bahawa
gambarnya sedang diamati dan dilihat orang asing. Mungkin tiada apa-apa
kesan kepada individu tersebut. Baginya normal untuk seseorang melihat
wajahnya. Malah mungkin timbul rasa bangga dengan ke-macho-an dirinya
yang dilihat orang lain. Lagi bertambah suka di hati jika yang
melakukannya ialah secret admire.
Tapi bagaimana kalau posisi lelaki tersebut ditukar kepada wanita.
Bukan sebarang wanita tetapi seorang muslimah pula. Jika dahulu, foto
kita hanya dimiliki oleh diri sendiri sahaja tetapi sekarang dengan
kemunculan laman sosial, segalanya menjadi amat mudah.
Hanya tekan butang upload dan gambar itu akan terpapar di sesawang
internet seluruh dunia.Jika diperhatikan, banyak kebaikan yang hadir
dengan kemajuan teknologi dalam photo sharing yang boleh dimanfaatkan
bersama tetapi rasanya, cuba kita singkap keburukan dan kelemahannya
pula.
Seandainya kita melayari laman sesawang yang menawarkan khidmat
group, pasti akan terlihat pelbagai jenis foto manusia yang tidak pernah
sekali pun bersua.
Apatah lagi, sekiranya foto itu telah dibedah dengan Photoshop.
Kadang kala, gambar yang peli-pelik pun ada. Usah diperkatakan dengan
gambar-gambar terlarang. Pernahkah kita membayangkan perasaan orang yang
mungkin terlihat foto seorang muslimah (kerana rasanya gambar lelaki
tidak menjadi rebutan)? Jika yang baik dan tinggi imannya, akan terus
menekan butang close. Tapi yang kurang imannya pula bagaimana?
Ramai rakan-rakan kita yang memiliki Facebook pastinya akan dan
ingin berkongsi saat-saat manis mereka. Jika tiada, kenalannya pula akan
tag gambar beliau. Timbul rasa musykil bila melihat gambar-gambar ini.
Selamatkah? Tidak mengapakah kalau orang tengok? Aku tengah tidak pakai
tudung waktu ini, orang lain tangkap gambar. Yang lelaki juga tidak
terlepas dosa memperlihatkan auratnya secara global.
Pasti timbul pelbagai syubhah di hati kerana tahu ianya salah tapi
ingin juga dibenarkannya. Akhirnya, satu hari, kita lihat gambar kita
yang telah di-edit terpampang di laman-laman yang tidak sepatutnya.
Ditambah dengan nombor telefon yang diletakkan di profile, hidup kita
akan "diserikan" dengan panggilan pelik.
Mungkin kes di atas hanya satu dalam sejuta. Tapi kita perlu sedar,
kita ialah satu dalam sejuta itu. Maka, beringat-ingatlah seandainya
ingin berkongsi foto secara online. Minta kawan remove seandainya
gambar yang di-tag itu menyentuh hak peribadi sebagai seorang muslim
mahu pun muslimah. Insyaallah, kita akan lebih tenang dalam dunia siber
yang semakin meluas hari ini.







No comments:
Post a Comment